Jenazah Tan Sri Khalid Ibrahim selamat dikebumikan

JENAZAH bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat dikebumikan sekitar pukul 2.30 petang di Makam Diraja Shah Alam, Selangor, hari ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis pengebumian berkenaan.

Antara yang hadir menyaksikan perjalanan akhir Allahyarham Abdul Khalid ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengucapkan takziah kepada Puan Sri Salbiah Tunut yang juga isteri kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Makam Diraja Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

Allahyarham Abdul Khalid yang meninggal dunia pada 11.08 malam Ahad dimandi dan dikafankan terlebih dahulu di Masjid Saidina Umar Al Khattab Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pukul 8 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjid Salahuddin Abdul Aziz pada jam 11 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *