PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, segala jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara tidak terkira besarnya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, warga ATM dan PDRM telah membuktikan mereka adalah pahlawan tulen ketika negara berhadapan dengan ancaman COVID-19 sedikit masa dahulu.
“Mereka merupakan petugas barisan hadapan yang sanggup mempertaruhkan nyawa bagi membantu apa sahaja perancangan kerajaan demi mengekang penularan wabak ini tanpa mengira waktu walaupun diri mereka sendiri terdedah kepada ancaman wabak tersebut.
“Pengorbanan besar anda semua akan dikenang sampai bila-bila dan hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala khidmat bakti dan kebaikan anda.
“Marilah kita sama-sama terus mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan kepada para pahlawan kita yang masih setia berkhidmat.
“Kepada yang terkorban dan telah pergi meninggalkan kita semua, semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Selamat Hari Pahlawan 2022,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Leave a Reply