PRU-15:Agenda besar PN untuk selamatkan negara-Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AGENDA yang diperjuangkan Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah amat besar iaitu mahu menyelamatkan negara dan membina masa hadapan yang lebih baik untuk Malaysia.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan tersebut memberikan tawaran baharu yang lebih menjamin masa depan negara.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, negara sebelum ini mengalami bencana dan kerosakan teruk antaranya akibat rasuah serta salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Disebabkan masalah yang diwarisi itu kata beliau, negara perlu diselamatkan dan agenda yang sedang diperjuangkan ketika ini selaras dengan matlamat penubuhan PN.

“Idea (penubuhan PN) tercerna daripada satu nawaitu yang baik, niat kita tidak lain dengan himpunan jemaah yang kita bentuk ini (gabungan parti-parti komponen PN) sebenarnya dapat selamatkan negara kita ini.

“Ada yang kata selamat daripada apa, negara kita tidak ada peperangan. Ini kerana dalam tempoh beberapa tahun lalu negara berdepan pelbagai krisis, pancaroba dan ditokok tambah dengan pandemik, musibah yang tidak pernah kita duga berlaku dalam negara dan seantero dunia.

“(Sekarang ini) negara kita terkenal bukan kerana ada apa, kerana ada peristiwa rompakan khazanah negara, kes rasuah terbesar di seluruh dunia,” katanya berucap merasmikan majlis Pelancaran PN Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang, malam tadi.

Turut hadir dua Timbalan Pengerusi PN iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas dan Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai merangkap Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selain Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris.

Dianggarkan kira-kira 10,000 hadir dalam majlis pelancaran tersebut.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, menerusi gabungan parti-parti komponen dalam PN itu diharap akan dapat menebus semula maruah negara yang tercemar di mata dunia.

Beliau berharap, situasi Malaysia yang sudah dirosakkan akan mampu dipulihkan sekali gus dapat mewujudkan negara yang aman dan sejahtera.

Menurutnya, banyak masalah dalam negara perlu diselesaikan antaranya inflasi dan kos sara hidup meningkat, harga barang melambung serta pengangguran masih tidak selesai termasuk masalah pendidikan akibat pandemik.

Sekiranya rakyat memilih PN dalam PRU-15, beliau berkata, gabungan tersebut akan berusaha menunaikan semua janji semasa berkempen nanti.

“Sekarang orang tanya bila PRU, saya pun tak tahu tapi katanya tidak lama. Kalau ambil tempoh lima tahun (penggal PRU-14) hanya tinggal lebih kurang setahun sahaja lagi, ini sudah nak masuk Ogos, jadi kalau setahun adalah hujung Julai tahun depan (genap penggal PRU-14).

“Tempoh setahun bukan lama, pejam celik pejam celik dah sampai PRU. Macam yang saya sebutkan awal tadi kewujudan PN kerana adanya matlamat kita untuk selamatkan negara, maka beban tugas kita iaitu Pas, Bersatu dan lain-lain amat besar.

“Maka bagaimana kita tentukan jentera parti yang sudah biasa boleh uruskan soal PRU, nak dipermudahkan dan nak tentukan supaya rakyat yang ada di bawah faham apakah perjuangan kita,” katanya.

Sebagai persediaan PRU-15 kata Muhyiddin, selepas ini rundingan pembahagian kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.

“Tak susah, lebih kurang halal dan bertolak ansur. Dapat selesai jentera di peringat bawah, mengetahui mana kerusi Pas punya, Bersatu punya. Bersatu bantu (calon) Pas menang, Pas bantu Bersatu menang dan begitu juga lain-lain sebab kita dalam satu jemaah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin PN akan menang dua pertiga di semua kerusi DUN dan Parlimen di Terengganu lebih-lebih lagi sebelum ini semua janji Pas dalam manifesto PRU-14 sudah ditunaikan.

Muhyiddin yakin PN akan menang besar di Terengganu, Kelantan dan Kedah selain berharap rakyat di negeri lain akan menerima tawaran gabungan tersebut dalam membentuk Malaysia baharu selepas PRU-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *