Oleh MOHD LAZIM ENDUT

MAJLIS Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Terengganu yang berlangsung di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila Marang malam tadi mendapat sambutan hangat daripada rakyat di negeri ini.
Lebih 10,000 yang hadir mewakili parti-parti dalam PN seperti Pas, Bersatu dan Gerakan membuktikan gabungan tersebut semakin diterima dan mendapat perhatian rakyat di negeri ini.
Kalau sebelum ini ahli dan penyokong Pas terlalu sukar untuk menukar bendera dan logo parti khususnya sewaktu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), kini suasana itu telah berubah.
Apa yang menarik, jambatan yang merentangi sungai Marang yang selama ini hanya khusus berkibar bendera Pas, kini sudah bertukar dan dipenuhi dengan bendera PN.
Ia seakan menjadi sebagai satu fenomena baharu membabitkan penyokong parti tersebut.
Mereka tidak lagi bersikap ‘keakuan’ atau ‘kepartian’ hanya parti Pas, sebaliknya mereka kini telah bertukar kepada PN.
Majlis pelancaran PN Terengganu disempurnakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Oresiden Gerakan, Senator Dominic Lou Hoe Chai; Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris; Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dan Pengerusi Gerakan Terengganu, Wong Kim Su.
Pada majlis berkenaan turut disampaikan watikah pelantikan melibatkan lapan pengerusi PN bahagian di negeri ini.
Sepanjang majlis berlangsung, rata-rata yang hadir bukan setakat memberi sokongan padu dengan mengibarkan bendera serta menyanyikan lagu PN, tetapi turut melaungkan kalimah Allahuakbar sewaktu Muhyiddin berucap.
Selain itu orang ramai juga turut menyumbangkan derma untuk tabung PN yang diedarkan pada majlis tersebut.
Penerimaan ahli-ahli dan Penyokong Pas dengan kehadiran sejumlah wakil parti Gerakan juga membuktikan PN mampu mewujudkan perpaduan antara kaum dalam kalangan gabungan berkenaan.
Sekiranya suasana seperti ini terus dikekalkan hasrat PN untuk terus memerintah Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ((PRU-15) akan menjadi kenyataan.
Ketika berucap pada majlis tersebut, Ahmad Samsuri menyifatkan kehadiran orang ramai sebagai lembaran baharu dan sejarah bagi negeri Terengganu.
Malah berdasarkan sambutan hangat itu juga, beliau yakin PN akan terus kekal untuk memerintah Terengganu.
Leave a Reply