Oleh MOHD LAZIM ENDUT
PELAKSANAAN skim subsidi bersasar di negara ini boleh menjimatkan wang kerajaan lebih RM20 bilion setahun, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu Muhyiddin meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan mencari kaedah serta makenisme terbaik untuk memperhalusi pelaksanaan skim tersebut.
Beliau berkata, ia penting kerana selama dua tahun kehidupan rakyat terbeban ekoran penularan wabak Covid-19.
Katanya, sepanjang pelaksaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ekonomi rakyat telah merudum, manakala yang berniaga pula mengalami kerugian.
Justeru katanya, MPN berharap kerajaan perlu segera melaksanakan skim ini bagi meringankan beban dan nasib rakyat.
Beliau berkata, skim ini perlu memandangkan sebelum ini semua golongan sama ada warga negara atau bukan warga negara, orang kaya atau pun miskin semua dapat subsidi.
“Jadi, orang kaya bertambah kaya, yang miskin pula semakin miskin.
“Melalui skim subsidi bersasar, kita berharap kerajaan lebih mengutamakan golongan B40 yang hanya ada tak sampai 20 peratus di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Majlis temu mesra nelayan di Pelabuhan Perikanan Chendering Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Ibdustri Makanan Dr Ronald Kiandee.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, golongan nelayan dan petani tidak seharusnya merasa malu atau rendah diri dengan pekerjaan masing-masing.
Sebaliknya beliau berkata, golongan tersebut seharusnya menjadikan bidang pertanian dan perikanan itu satu kerjaya yang terpuji.
“Mereka perlu mengubah konsep bidang tersebut dengan menjadikannya sebagai satu industri masa hadapan.
“Kita masih memiliki banyak kawasan tanah yang terbiar, marilah sama-sama kita mengusahakannya,” ujar beliau.
Leave a Reply