Pemandu ekskavator maut ditimbus runtuhan batu

Oleh RIZQI ZABIDI

Seorang pemandu ekskavator maut setelah gagal menyelamatkan diri dari runtuhan batu di sebuah tapak pembinaan, dekat Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, Pokok Sena, pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain, mangsa, Muhammad Nasir Awang Ali, 40, maut di lokasi kejadian akibat tertimbus sedalam kira-kira tiga meter.

Menurutnya, terdapat saksi melihat mangsa sempat meninggalkan jentera berat tersebut ketika kejadian itu berlaku.

“Mangsa dikatakan terlebih dulu melompat keluar dari ekskavator tersebut namun gagal berlari ke lokasi yang selamat. Disebabkan itu, mangsa terperangkap dalam runtuhan batu tersebut.

“Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.37 pagi dan setibanya di lokasi, pencarian dibuat di dua sektor lokasi kejadian.

“Dengan bantuan dua ekskavator lain, mayat mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 12.38 tengah hari,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *