Muhyiddin lakukan reformasi tanpa mendabik dada

Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

TAN Sri Azhar Azizan Harun menyampaikan ucapan yang jujur dan berani. Ketika beliau turun dari pentas, saya beritahu dia, “It was a nice speech”. Dia jawab, “I wrote it myself bro.”

Ya, dia seorang penulis yang prolifik.

Ketika Datuk Mutalib Razak beritahu saya Tan Sri Azhar (atau lebih mesra dipanggil Art Harun) sudi hadir melancarkan buku coffee table Tan Sri Muhyiddin, “Leading a Nation in Unprecedented Crisis” terdetik di hati saya, beliau seorang yang berani dan jujur.

Saya melalui zaman jatuh bangun Tan Sri Muhyiddin. Sudah menjadi lumrah bila berada di atas ramai yang ingin berdamping. Tetapi bila di bawah, tak ramai yang ingin dekat kecuali teman-teman rapat.

Art Harun terdiri daripada kalangan yang tak ramai itu.

Bukan setakat hadir sahaja, malah dalam ucapannya beliau memperkatakan tentang Tan Sri Muhyiddin dengan begitu jujur dan berani.

Beliau mulakan tentang kali pertama beliau menemui Tan Sri Muhyiddin iaitu selepas dua hari Tan Sri Muhyiddin dipecat daripada Kabinet pada tahun 2015.

Saya ingat Tan Sri Muhyiddin pada ketika itu ingin mendapatkan pandangan peguam dan Art Harun antara individu yang dijemput. Di situlah saya mula mengenali beliau.

Saya perhatikan beliau bukan hanya seorang peguam, tetapi peguam yang ada perjuangan. He is a lawyer with a cause and he speaks his mind.

Yes, he really spoke his mind when he said in his beautiful speech:

“Tan Sri Muhyiddin Yassin, the eighth Prime Minister of Malaysia, is a renowned national figure and towering personality and a reformer, whose reformation efforts many choose to overlook, for whatever reason they may have.”

Rangkap ucapan beliau ini mula menarik perhatian saya. Saya terus mendongak dan menumpukan sepenuh perhatian kepada ucapannya sambil membuat rakaman di telefon bimbit.

Saya berkata di dalam hati,” Yes, an overlooked reform agenda. This is something that we ourselves forget about Tan Sri Muhyiddin”.

Ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, antara tugas Tan Sri Muhyiddin ialah untuk meneliti beberapa undang-undang yang mengandungi peruntukan-peruntukan yang dilihat mengekang hak kebebasan asasi rakyat. Antaranya SOSMA, Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan, POCA dan POTA.

Sebuah pasukan petugas khas dibentuk untuk mengkaji semua undang-undang ini. Banyak siri libaturus dibuat dengan kumpulan pakar dan pemegang taruh.

Ya, Art Harun antara pakar yang dijemput untuk beri pandangan. Saya sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Dalam Negeri pada ketika itu terlibat sama di dalam sesi-sesi libat urus ini.

Ramai pakar dan pemegang taruh memberi pandangan yang berbeza-beza. Ada yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan cadangan pindaan atau pemansuhan peruntukan-peruntukan tertentu dalam Akta-Akta ini.

Setelah pandangan kumpulan pakar dan pemegang taruh dikumpul, pegawai-pegawai KDN dan Jabatan Peguam Negara menyediakan laporan yang mengandungi cadangan-cadangan tertentu berhubung pindaan atau pemansuhan peruntukan-peruntukan tertentu di dalam Akta-Akta ini.

Yang saya ingat tidak ada satu pun Akta yang dicadang supaya dimansuhkan. Yang ada ialah pindaan-pindaan tertentu yang melibatkan tempoh notis, tatacara tahanan, peluang untuk mengemukakan rayuan dan pemansuhan beberapa seksyen yang difikirkan tidak lagi sesuai.

Itu pun masih terdapat perkara-perkara yang perlu diteliti dengan lebih terperinci khususnya yang berkaitan dengan Akta-Akta yang bersifat kontroversi seperti SOSMA dan Akta Hasutan. Penasihat Undang-Undang misalnya memberi pandangan pindaan Akta Hasutan memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja.

Namun dalam kesemua Akta ini, ada low hanging fruits iaitu Akta Perhimpunan Aman yang mana hampir semua pemegang taruh mencapai kata sepakat tentang pindaan-pindaan yang boleh dilaksanakan. Tan Sri Muhyiddin memberi arahan yang jelas RUU untuk meminda Akta ini perlu segera dibentang di Parlimen sementara yang lain-lain terus diteliti dengan lebih terperinci.

Pada 4 Julai 2019, pindaan Akta Perhimpunan Aman telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Antara pindaannya ialah memansuhkan kesalahan protes jalanan (street protest). Tempoh notis penganjuran perhimpunan aman juga dipendekkan dari 10 hari kepada 5 hari.

Saya masih ingat deraf awal RUU ialah memendekkan tempoh notis dari 10 hari kepada 7 hari. Tetapi dalam sesi perbahasan, terdapat Ahli-Ahli Parlimen yang mencadangkan tempoh 7 hari itu dipendekkan lagi.

Ketika di peringkat jawatankuasa, Tan Sri Muhyiddin merujuk kepada pihak PDRM sama ada tempoh itu boleh dipendekkan lagi. PDRM memberi respon boleh, lalu tempoh 7 hari notis dipinda ke 5 hari di peringkat jawatankuasa. (Baca di sini: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/581255/dewan-rakyat-lulus-ruu-perhimpunan-aman-pindaan-2019)

Semua ini masih segar dalam ingatan saya. Tan Sri Muhyiddin tidak pernah mendakwa beliau seorang reformis. Tetapi beliau ada komitmen kepada tugas dan tanggungjawabnya dan mengambil sikap yang terbuka dan akomodatif terhadap agenda reformasi lantas memungkinkan reformasi berlaku.

Mungkin kerana inilah agaknya – seperti yang disebut oleh Art Harun – ramai orang terlepas pandang sumbangan Muhyiddin terhadap agenda reformasi. Kejayaan meminda Akta Perhimpunan Aman tidak digembar gembur sebagai kejayaan Muhyiddin.

Hanya beberapa jam selepas Art Harun berucap mengenai agenda reformasi Tan Sri Muhyiddin yang ramai orang terlepas pandang, beberapa orang Ahli Parlimen DAP mengecam ucapan itu. Antaranya Lim Kit Siang dan Charles Santiago.

Saya tak nak ulas pasal Lim Kit Siang. Dia sudah tua dan semakin menghampiri akhir hayat politiknya. Biarlah dia bersara dengan tenang.

Charles Santiago ada sedikit hubungan kerja dengan saya ketika zaman PH dahulu. Suatu hari Charles berhubung dengan saya meminta diadakan satu sesi pertemuan antara pemohon-pemohon kewarganegaraan Malaysia dengan Tan Sri Muhyiddin. Sebagai Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan.

Saya sampaikan permintaan ini kepada Tan Sri Muhyiddin sambil mengingatkan beliau bahawa isu kewarganegaraan adalah amat sensitif dan boleh dijadikan modal serangan politik oleh UMNO. Tambahan pula ia melibatkan permintaan Ahli Parlimen DAP.

Tan Sri Muhyiddin jawab mudah saja. Boleh. Ini bukan isu perkauman atau DAP. Tetapi isu kerakyatan dan undang-undang. Tan Sri Muhyiddin setuju diadakan sesi pertemuan itu.

Saya ingatkan hanya beberapa orang yang ingin berjumpa. Tetapi rupa-rupanya hampir 300 orang yang hadir. KDN menyediakan satu dewan besar yang dipenuhi oleh pemohon-pemohon kewarganegaraan. Sebahagian besarnya ialah kanak-kanak yang memohon di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin inilah kali pertama KDN mengadakan sesi dialog pemohon kewarganegaraan bersama Menteri Dalam Negeri atas inisiatif Ahli Parlimen DAP.

Ya, Tan Sri Muhyiddin pada ketika itu terdedah kepada serangan musuh politik yang menggunakan isu perkauman dan anti-DAP. Tetapi beliau tak kisah dengan semua itu. Kerana yang penting tugas beliau sebagai Menteri Dalam Negeri pada ketika itu ialah untuk menyelesaikan permasalahan yang berada dalam ruang lingkup tanggungjawabnya sebagai Menteri.

Dalam sesi itu, ada ibu bapa yang menceritakan tentang anak yang tiada dokumen kewarganegaraan hidup dalam keadaan yang tertekan. Sehinggakan ada yang cuba membunuh diri.

Saya lihat Tan Sri Muhyiddin amat terkesan dengan cerita ini. Dalam mesyuarat dengan pegawai-pegawai KDN selepas itu, beliau berulang kali mengingatkan pegawai supaya mempercepat dan mempermudahkan proses permohonan kewarganegaraan khususnya bagi anak tak sah taraf dan anak angkat. Jika ada merit selepas dokumen-dokumen yang sah dikemukakan dan siasatan terperinci dibuat, mereka yang layak boleh diperakukan untuk diluluskan permohonannya.

Hasilnya satu SOP baharu digubal untuk memudahcara dan mempercepatkan proses permohonan kewarnageraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. (Baca di sini:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/529818/proaktif-selesai-isu-permohonan-kewarganegaraan-muhyiddin)

Ini adalah hasil sikap keterbukaan Tan Sri Muhyiddin. Beliau lihat ini adalah isu manusia dan kemanusiaan. Beliau tak pernah mendabik dada mengangkat dirinya sebagai reformis, tetapi reform berlaku apabila beliau mempunyai sikap dan niat yang betul.

Jadi apabila Charles Santiago menempelak Tan Sri Muhyiddin kononnya tiada perubahan yang berlaku dalam isu kewarganegaraan semasa Tan Sri Muhyiddin jadi Menteri Dalam Negeri saya jadi bingung.

Saya tidak menjangkakan orang seperti Charles Santiago akan memuji Tan Sri Muhyiddin atau mengenang budi beliau, tetapi sekurang-kurangnya biarlah ada sedikit ‘humility’ apabila bercakap.

Panjang kalau saya nak bercerita tentang sisi-sisi inisiatif dan sumbangan Tan Sri Muhyiddin yang orang terlepas pandang seperti yang disebut oleh Art Harun. Saya simpan lah dulu cerita-cerita itu.

Apapun saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Azhar Azizan Harun.

*Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *