Umat Islam tidak boleh cepat mengalah, berputus asa – Muhyiddin

UMAT Islam boleh mempelajari sejarah penghijran Nabi Muhamad SAW yang berlaku pada bulan Muharam sebagai satu pengajaran untuk memperbaiki diri dan tekad bagi memajukan diri, masyarakat dan negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika negara masih lagi dalam proses pemulihan setelah bergelut dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, sebagai rakyat, mereka boleh memainkan peranan masing-masing dengan sama-sama menyokong apa sahaja program pemulihan yang disyor dan dilaksanakan kerajaan.

‘’Saya faham cabaran ini tidak mudah lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan situasi ekonomi yang suram dengan cengkaman inflasi berlaku di setiap sudut kehidupan.

‘’Tetapi sebagai umat Islam, kita tidak boleh cepat mengalah dan berputus asa malah kita mesti menjiwai semangat dan sejarah penghijrahan Rasulullah SAW dalam mengembangkan ajaran Islam walaupun berhadapan dengan banyak rintangan,’’ katanya dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1444 esok.

Sehubungan itu Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menyeru sempena kedatangan tahun baharu hijrah, umat Islam sama-sama memperbaharui tekad, memperteguh iltizam dan sentiasa berusaha memperbaiki  diri dan amalan seharian.

‘’Saya berdoa semoga Allah terus mengurniakan kita kekuatan untuk berhadapan pelbagai cabaran hidup dan menjadikan kita insan yang beriman dan bertakwa di sisi Allah serta sentiasa beristiqamah melakukan kebaikan,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *