JPN tidak lantik ejen, wakil untuk bantu orang ramai mohon MyKad

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah melantik mana-mana individu atau ejen untuk membantu orang ramai mendapatkan kad pengenalan atau MyKad.

Sebaliknya tegas Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, orang ramai hanya perlu datang terus ke pejabat JPN di 225 lokasi termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara sekiranya mahu membuat pendaftaran dokumen pengenalan diri atau sebarang dokumen berkaitan dengan JPN.

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini turut menerima aduan daripada orang ramai berhubung tawaran daripada pihak tertentu yang mendakwa boleh membantu mendapatkan MyKad dengan mudah, namun mengenakan caj antara RM2,000 hingga RM5,000.

“Sehubungan itu, kita meminta orang ramai yang menjadi mangsa ejen penipuan MyKad ini supaya segera tampil membuat laporan bagi membolehkan perkara ini dibendung.

“Kita memandang serius dakwaan ini walaupun kes yang dilaporlan tidak banyak kerana kerugian yang dialami mangsa menjangkau ribuan ringgit,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan MyKad kepada seorang warga emas, R. Alliamah, 64, yang menunggu hampir 40 tahun untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri itu di pejabat JPN Pulau Pinang hari ini.

Menurut Ruslin, daripada aduan yang diterima didapati mereka yang paling ramai menjadi mangsa ejen palsu tersebut ialah dalam kalangan yang mempunyai anak tidak sah taraf.

Ini kerana jelasnya, golongan itu bimbang untuk berurusan secara terus dengan JPN kerana mungkin akan didakwa di mahkamah kerana mempunyai anak luar nikah.

“Hakikatnya tidak ada dakwaan seperti itu kerana kami di JPN akan sedaya upaya membantu mendapatkan dokumen untuk anak mereka, malah kelewatan mendaftar kelahiran hanya akan dikenakan denda sahaja,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, JPN juga mempunyai pasukan khas menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) untuk membantu orang ramai mendapatkan MyKad.

Jelasnya, pasukan MEKAR itu akan turun padang berjumpa sendiri golongan yang mahu memohon MyKad membabitkan warga emas; orang kurang upaya (OKU); pesakit terlantar, pesakit mental dan pesakit kronik yang sukar hadir ke JPN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *