YANG Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun hari ini melancarkan buku bertajuk “Muhyiddin Yassin: Leading A Nation In Unprecedented Crisis” tulisan bekas Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Abdul Mutalib Razak.
Buku biografi itu mengabadikan detik mencabar dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih tampuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelapan ketika pandemik COVID-19 melanda.
Abdul Mutalib berkata antara kandungan buku itu ialah cabaran yang dihadapi Muhyiddin dan Kabinetnya terutama ketika seluruh dunia belum memahami sepenuhnya impak COVID-19.
Katanya buku itu turut mengupas cabaran mendepani pandemik COVID-19 termasuk usaha mendapatkan vaksin, kesan terhadap ekonomi akibat pandemik dan kemelut politik yang dihadapi Muhyiddin.
“Ketika saya mula mengumpul pasukan editorial untuk buku ini pada Jun 2020, ia adalah berdasarkan catatan peristiwa secara langsung, tetapi kemudiannya krisis ini menjadi begitu besar dari pelbagai sudut, mengambil masa yang lama untuk menghasilkan biografi selengkap ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku tersebut.
Turut hadir Muhyiddin serta isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Leave a Reply