subsidi minyak masak berbotol

Itu perjanjian  Ismail Sabri dengan PN…pemimpin UMNO jangan menyibuk!

PENULIS  yakin Perikatan Nasional (PN) akan dituduh kemaruk kuasa atau jawatan apabila Setiausaha Agung UMNO, Hamzah Zainuddin menyatakan PN kecewa dengan tindakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan gabungan itu.

Walaupun dalam kenyataan medianya, Hamzah tidak menyebut apa ‘terma-terma penting’ itu tetapi salah satunya pasti berkaitan dengan kedudukan dalam Kabinet khususnya melibatkan jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi yang merupakan kuota Bersatu namun terus dinikmati oleh Zuraida Kamaruddin .

Isunya mudah, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dilantik ke jawatan itu atas kapasiti beliau berada dalam Bersatu. Maknanya, jawatan menteri itu kuota Bersatu, justeru apabila beliau meninggalkan Bersatu, maknanya Bersatu harus cari calon lain untuk menggantikannya.

Dan inilah perjanjian antara Ismail Sabri atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri dengan PN…ia tiada kaitan dengan UMNO, jadi pemimpin UMNO tak payah mahu  menyibuk urusan Perdana Menteri. Janganlah dok ‘gatal mulut’ mahu menuduh PN kemaruk kuasa atau jawatan. Ini adalah soal perjanjian…setiap perjanjian harus dipatuhi bukannya dimungkiri.

Janganlah ketika mahu berkuasa atau tengah mencari kuasa, segala perjanjian atau MoU sanggup ditandatangani tetapi apabila kuasa sudah berada dalam genggaman dan merasa sudah kuat, semua buat-buat lupa.

Ketika ini sudah wujud persepsi bahawa walaupun Ismail Sabri adalah Perdana Menteri tetapi apa juga beliau lakukan harus merujuk kepada partinya UMNO dan kehendak pemimpin kanan parti berkenaan.

Sama ada betul atau tidak, itulah persepsinya. Semua orang tahu Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO tetapi dalam melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau perlu menggunakan kuasa dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Begitulah juga dalam soal perjanjian beliau dengan PN, kalaulah betul ada janji-janji harus ditunaikan, Ismail Sabri perlu menunaikannya. Janji tetap janji kecualilah Ismail Sabri merasakan, semua janji sudah tidak relevan lagi memandangkan PRU-15 yang didesak oleh pemimpin-pemimpin kanan UMNO kini di ambang pintu.

Kalau itulah alasannya, Ismail Sabri perlu berterus-terang berhubung kedudukan Zuraida dalam Kabinet. Janganlah hanya mendiamkan diri hingga akhirnya yang PN pula dituduh kemaruk kuasa. Jika beliau mahu kekalkan Zuraida, umumkan sahaja. Kenapa berteka-teki? Begitu juga bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, kalau memang tak boleh lantik, umumlah.

Melalui cara itu, semua akan jelas, tidak ada sesiapa yang akan berteka-teki atau mewujudkan persepsi termasuknya terhadap Ismail Sabri sendiri. Ketika ini orang melihat Ismail Sabri berada dalam keadaan lemah, kalau memetik kata-kata bekas Ahli Parlimen Pulai daripada UMNO, Nurjazlan Mohamed, “PM paling lemah’’ tetapi penulis tidak berpendapat begitu.

Apa yang berlaku kerana Ismail Sabri dilihat terlalu berhati-hati mahu menjaga hati semua pihak khususnya dalam UMNO. Sebagai Naib Presiden,Ismail Sabri tidak menguasai parti. UMNO diterajui dan dikuasai oleh Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden dengan dibantu oleh Mohamad Hasan serta diperkukuhkan oleh Najib Razak. Ismail Sabri dianggap ‘terperangkap’ bagaikan di luah mati emak, ditelan mati bapa!.

Bagaimanapun dalam isu perjanjian dengan PN, Ismail Sabri harus menyelesaikannya. PN tidak boleh dipersalahkan kerana melahirkan kekecewaan tersebut. Sebaliknya Ismail Sabri yang bertanggungjawab untuk menetapkan adakah perjanjian yang dibuat sebelum ini sudah terbatal atau ‘tidak lagi diperbaharui’ seperti MoU dengan Pakatan Harapan.

Kalau betul perjanjian dengan PN sudah tidak lagi relevan, Ismail Sabri perlu ada keberanian mengumumkan secara terbuka. Selepas itu terserahlah kepada PN membuat pendirian mereka. Ismail Sabri tidak perlu risau apa-apa jika disebabkan perjanjian itu PRU terpaksa diadakan lebih awal dan beliau menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah.

Mungkin ada yang berkata, ‘’bukankah Ismail Sabri poster boy BN’… dalam politik segala berkemungkinan dan kalau kita mungkir janji dengan orang lain, mungkin nanti giliran orang lain pula mungkir janji dengan kita. Itulah hukum kehidupan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *