KERAJAAN akan memberikan semula pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada siswazah Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, yang menamatkan pengajian mereka bermula dari 2019.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keistimewaan itu akan diberikan kepada siswazah yang layak tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama.
Justeru itu, beliau berharap PTPTN dapat berbincang dengan Kementerian Kewangan berkenaan perkara itu dari segi peruntukan yang terlibat.
“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang terbaik dalam pengajian mereka,” katanya.
Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) (MECC) Kuala Lumpur hari ini.
Leave a Reply