47 warga asing ditahan JPJ atas pelbagai kesalahan jalan raya

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita sebanyak 47 buah kenderaan yang didapati dipandu oleh warga asing yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

Kesemua kenderaan itu diperiksa menerusi Op Pemandu Warga Asing (PeWA) oleh Unit Operasi bersama Unit Peronda Bermotosikal (UPB), JPJ Pulau Pinang di bulatan Seberang Jaya, di Butterworth semalam.

Dalam operasi selama dua jam bermula pukul 7 pagi itu, kenderaan yang disita terdiri daripada 44 buah motosikal selain dua buah kenderaan persendirian serta sebuah lori kecil.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan menerusi media sosial Facebook berkata, operasi itu diadakan bertujuan memastikan pemandu warga asing memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah selain mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Menurutnya, pemandu Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) paling ramai ditahan dalam operasi itu iaitu seramai 20 orang diikuti warga Bangladesh (9); Indonesia (7), Vietnam (4), India (3), Myanmar (2) serta masing-masing seorang dari Nepal dan Kemboja.

Jelaenya, kesalahan tiada lesen memandu paling banyak dikesan selain kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal lain.

“Semakan terhadap maklumat kenderaan juga mendapati ada segelintir warga tempatan sanggup menyewakan kenderaan milik mereka untuk kegunaan warga asing dengan bayaran sewaan bulanan,” katanya.

Katanya, kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa ke pejabat JPJ Pulau Pinang di sini.

“Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu warga asing serta pemilik kenderaan yang ingkar terhadap peraturan serta undang-undang ditetapkan semasa memandu di negeri ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *