PELANJUTAN penguatkuasaan pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu bagi memberikan lebih masa kepada pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dan lengkap
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh tahanan yang lebih lama daripada yang diperuntukkan di bawah kanun tatacara jenayah ini adalah perlu, kerana kesalahan di bawah SOSMA bukanlah kesalahan biasa.
“Tetapi (SOSMA) adalah jenayah yang berkaitan dengan kegiatan keganasan ataupun sebarang tindakan yang boleh mengancam ketidaktenteraman awam dan keselamatan negara.
“Proses pengumpulan bahan bukti dalam kes-kes seumpama ini biasanya mengambil masa yang panjang selain melibatkan pihak penguatkuasa negara asing sekiranya ia membabitkan jenayah rentas sempadan.
“Contoh klasik bagi kes seumpama ini adalah pencerobohan oleh pengganas asing di Lahad Datu pada tahun 2013 yang mana selebih 100 orang individu telah didakwa di bawah SOSMA.
Mujurlah ketika itu, kita mempunyai peruntukan subseksyen 4(5) SOSMA yang membolehkan suspek ditahan untuk tempoh yang lebih lama daripada biasa.
“Dan ini memberikan masa yang secukupnya bagi pihak polis untuk mengumpul bahan bukti dan melengkapkan siasatan sebelum orang yang dituduh dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Usul Pelanjutan kuatkuasa subseksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah) Khas SOSMA 2012 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, beliau bimbang, negara mungkin akan terdedah dengan risiko ancaman keselamatan yang lebih meruncing di masa hadapan dan tindakan pihak PDRM akan menjadi lebih terbatas dalam menangani ancaman ini tanpa peruntukkan subsekysen 4(5) SOSMA ini.
“Harus diingat bahawa usul ini tidak bermakna kita mempertikaikan kredibiliti dan kecekapan anggota polis yang sememangnya arif dalam menjalankan tugas mereka.
“Namun, dalam kes-kes yang melibatkan jenayah keganasan dan ancaman terhadap keselamatan negara, kita memerlukan langkah yang lebih khusus untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan dan pada masa yang sama mengelakkan risiko suspek lepas bebas untuk melakukan tindakan-tindakan keganasan yang boleh mengancam keselamatan negara dan nyawa rakyat,” katanya.
Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lalu yang menolak lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) itu.
Leave a Reply