SEORANG bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di badan dalam kejadian di Sungai Siput, semalam.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, pihaknya menerima maklumat berkenaan pada pukul 7.10 pagi.
“Mangsa yang tidak sedarkan diri menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.
“Susulan itu ibu kandung mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai jururawat ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mangsa adalah anak tunggal dan tinggal bersama ibunya yang sudah bercerai sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja Ketua Polis Perak ke Pulau Pangkor, di Pangkor, hari ini.
Katanya, proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati terdapat kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan mangsa akibat objek tumpul.
“Ibu mangsa direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kita akan menjalankan siasatan lanjut jika ada individu lain terbabit dalam kes ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.
Leave a Reply