CUBAAN seorang lelaki yang menggelar dirinya sebagai Datuk memujuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor supaya tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha tayar kitar semula haram di Batu 13 Jalan Kluang di Kluang, gagal.
Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd. Rashdan Topa berkata, pihaknya tidak melayan permintaan lelaki tersebut yang dibuat menerusi panggilan telefon.
“Pihak JAS tetap menahan pengusaha tersebut yang berusia 70 tahun manakala premisnya disita selepas didapati beroperasi secara haram sejak sebulan lalu.
“JAS menyita 300 tan tayar terpakai yang dilonggokkan di kebun kelapa sawit seluas kira-kira 0.8 hektar dan ia adalah sitaan terbesar bagi kes seumpamanya tahun ini.
“Hasil siasatan mendapati pengusaha berkenaan memperoleh bekalan tayar terpakai dari serata negeri Johor,” memetik laporan Harian Metro hari ini.
Katanya, tayar berkenaan dibakar sebelum dawainya diambil selain minyak yang terhasil dijual semula pada RM1 seliter.
Minyak berkenaan digunakan sebagai bahan bakar bagi industri berat seperti perkapalan, katanya.
“Pengusaha mendakwa dia membantu melupuskan tayar terpakai tetapi hakikatnya perbuatannya telah melanggar undang-undang mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan adalah suspek sama yang pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini di Paloh.
“Pengusaha berkenaan juga didapati menggajikan seramai empat pendatang tanpa izin (PATI) warga Bangladesh, dua warga Pakistan, seorang warga India dan seorang warga tempatan.
“Kita akan panjangkan kesalahan-kesalahan lain yang dibuat oleh pengusaha berkenaan kepada agensi dan jabatan berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen, Pejabat Tanah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang, Kementerian Kesihatan dan polis,” katanya.
Leave a Reply