Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SERAMAI 12 individu sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan susulan kematian banduan Penjara Kluang pada 28 Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mereka yang dipanggil polis itu terdiri daripada ahli keluarga, banduan dalam sel sama dengan mangsa dan empat kakitangan penjara terbabit.
“Seramai 12 orang saksi telah kita panggil untuk rakam percakapan. Mereka ini adalah tiga orang ahli keluarga, ‘cell mate’ mangsa seramai lima orang dan empat orang kakitangan penjara.
“Keterangan mereka dirakam bagi membolehkan kita menjuruskan sebarang unsur yang menjadi sebab kematian mangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Pada 28 Jun lalu, Kim Shih Keat, 36, dijadualkan dibebaskan dari Penjara Kluang pada 28 Jun lalu, selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 22 Jun lalu.
Difahamkan, pada hari dibebaskan, mangsa terlebih dahulu dikejarkan ke hospital selepas didapati pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya belum dapat menyimpulkan punca kematian mangsa memandangkan masih menunggu laporan penuh bedah siasat.
“Bedah siasat sudah dijalankan, tetapi, buat masa ini, kita tidak boleh menyimpulkan lagi punca kematian kerana ada beberapa perkara di pihak makmal hospital yang tidak dapat keputusan lagi.
“Kita akan maklumkan apabila semua laporan dan keputusan ini diperolehi. Kita tidak dapat jangka bila (laporan siap), tetapi kita sudah meminta pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital bagi menyegerakannya kerana kita juga tidak mahu siasatan kes ini berlanjutan lebih lama,” katanya.
Leave a Reply