tribunal antigangguan seksual

Tribunal Antigangguan Seksual dijangka siap dalam setahun

PENUBUHAN tribunal yang termaktub dalam Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun, selepas ia diluluskan di Dewan Negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, AGS 2021 akan dibentangkan di Dewan Negara bulan hadapan.

“Kita dalam proses yang pertama nak kena luluskan (Rang Undang-undang AGS 2021 di Dewan Negara), kedua dari segi kita nak tubuhkan tribunal ini ada perjawatan baharu yang perlu diminta daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, dan kita sedang adakan perbincangan.

“Tetapi berkaitan rang undang-undang ini, ia boleh dikuatkuasakan mengikut fasal-fasal tertentu… ia tak semestinya kena semua dah lengkap baru kita kuatkuasakan. Kita tengok dulu fasal mana yang perlu kita kuatkusakan dahulu sebagai contoh advokasi, program pemahaman kesedaran tentang isu (gangguan seksual) kepada rakyat… mungkin akan ambil masa dalam setahun lebih kurang begitu,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita pada sesi penerangan Rang Undang-undang AGS 2021 Menteri Bersama Media di Kuala Lumpur, hari ini.

Rina berkata, AGS 2021 adalah bersifat sivil dan aduan gangguan seksual yang diterima akan dijalankan menerusi prosiding tribunal.

Katanya, pendengaran setiap aduan gangguan seksual yang diterima akan dijalankan secara tertutup, bagi menjaga sensitiviti dan kerahsian pengadu bagi menggalakkan lebih ramai yang akan tampil membuat aduan.

“Kita tiada akta khusus melibatkan AGS, mungkin kalau ada pun Kanun Keseksaan (Akta 574) selain Akta Komunikasi atau akta di bawah Kementerian Sumber Manusia… tetapi hari ini kita lihat ramai dalam kalangan wanita, bila kita tanya dan buat kajian mereka (mengakui) diganggu secara seksual, tetapi tidak tampil membuat laporan kerana faktor fobia, takut, segan dan bahan pembuktian berat.

“Dengan adanya AGS 2021 ini, kita mahu dari segi kesedaran, pendidikan kepada masyarakat bahawa gangguan seksual ini tidak sesekali dinormalisasikan, ia bukan budaya dan tidak harus dianggap remeh atau perkara kecil. AGS 2021 yang kita perkenalkan ini secara tidak langsung beri mereka persekitaran selamat, bukan sahaja di tempat kerja tetapi di tempat awam,” katanya.

Berdasarkan soal selidik awam kementerian berkaitan AGS 2021 ke atas 416 responden, 87.5 peratus menyatakan akan melaporkan isu gangguan seksual kepada tribunal ini kelak, katanya.

Justeru, Rina berkata, pihaknya akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bersama badan bukan kerajaan dan pihak berkaitan bagi memberi pemahaman dan penerangan tentang gangguan seksual.

Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) kementerian itu, Chua Choon Hwa dalam sesi penerangannya berkata di bawah Fasal 20, perintah yang boleh dibuat oleh tribunal ialah responden perlu mengeluarkan pernyataan permohonan maaf kepada pengadu, dan jika gangguan seksual dilakukan di khalayak ramai, responden perlu menyiarkan permohonan maaf kepada pengadu dalam apa-apa cara.

“Perintah yang boleh dikeluarkan termasuklah responden perlu membayar pampasan atau ganti rugi (tidak melebihi RM250,000) bagi kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu,” katanya.

Chua berkata tribunal adalah platform alternatif kepada pengadu yang menjadi mangsa gangguan seksual, untuk mengemukakan aduan dan mendapatkan pembelaan.

“Tetapi pengadu juga boleh membuat aduan kepada pihak polis sekiranya mereka mahu. Mengenai perintah yang dikeluarkan oleh tribunal, sekiranya responden merasakan ketidakaturan yang serius atau tidak adil terhadap perintah dikenakan ke atasnya, dia boleh membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi,” katanya. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *