Seorang rentung dalam kemalangan empat kenderaan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG rentung dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL, Pasir Gudang menghala ke Bakar Batu, Johor Bahru, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd. Suhaimi Jamal berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kereta iaitu jenis BMW, Perodua Myvi dan Honda City serta sebuah van pekerja kilang jenis Nissan.

“Mangsa yang rentung tersepit di bahagian pemandu kereta BMW.
Seramai 13 anggota dari BBP Larkin dibantu sembilan anggota BBP Johor Jaya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 6.10 pagi.

“Setibanya anggota di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis BMW terbakar 90 peratus, van pekerja kilang (terbakar 90 peratus) dan Perodua Myvi (terbakar 60 peratus) manakala Honda City tidak terbakar.

“Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera serta membantu mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang dikeluarkan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Tambah Mohd Suhaimi, pemandu Honda City dan Perodua Myvi masing-masing lelaki berusia 34 dan 52 tahun selamat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *