Nahas lima sekeluarga di Gerik: Polis akan ambil keterangan pemandu Hilux

POLIS  akan merakam keterangan pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa yang mengorbankan lima sekeluarga pada Sabtu.

Bagaimanapun, setakat ini, proses itu belum dapat dilakukan kerana pemandu berkenaan, seorang wanita berusia 53 tahun, masih dirawat di Hospital Jeli, Kelantan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, wanita tersebut mengalami luka di dada dan paru-paru.

“Buat masa ini masih lagi dirawat di Hospital Jeli untuk pemeriksaan lanjut dan kita belum dapat lagi menemuramah ataupun mengambil rakaman percakapan beliau.

“Dalam masa terdekat kita akan mengambil rakaman percakapan itu apabila dia pulih seperti biasa ataupun selepas dia discaj dari Hospital Jeli.

Dia masih lagi ditahan dan penumpang-penumpang dalam kereta itu kita sudah rakam percakapan mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.45 petang Sabtu, lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan Toyota Hilux.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang dalam perjalanan dari arah Gerik menuju Jeli, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Mangsa ialah Mohd. Rodhi Othman, 64 tahun, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 tahun, Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32 tahun, Ahmad Khomaini Abu, 32 tahun, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6 tahun.

Jenazah mereka selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Hj Abd Rashid, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, petang semalam, lapor Astro Awani.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *