JENAZAH Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang ditemukan dalam kenderaan di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, Sabtu lalu masih belum boleh dituntut warisnya.
Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah Dzulkarnain, 21, memaklumkan demikian menerusi hantaran dalam media sosial.
Menurut Izz Anisah, urusan pengebumian akan diberitahu selepas urusan di hospital selesai.
Izz Anisah turut memohon orang ramai mendoakan supaya urusan tersebut dipercepat dan dipermudahkan.
“Assalamualaikum, buat masa ini jenazah arwah abang saya masih belum boleh dituntut.
“Insya-Allah, urusan pengebumian akan diberitahu kelak jika urusan di hospital selesai.
“Doakan agar urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan oleh-Nya,” katanya dalam hantaran dalam Facebook, lapor Utusan TV.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar pernah tular dalam media sosial tahun lalu selepas Izz Anisah memohon bantuan orang ramai mengesan abangnya selepas dikatakan hilang tanpa khabar.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada pukul 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga serta majikannya.
Kelmarin, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan yang dipercayai mayat seorang lelaki yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.
Rangka mayat itu kemudian dilaporkan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat manakala kenderaan ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
Leave a Reply