PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati 66 syarikat menyalah guna tuntutan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Perkeso menggunakan kaedah siasatan forensik dalaman bagi mengesan salah laku berkenaan.
“Sehingga kini, 45,379 syarikat sudah mendapat manfaat tuntutan insentif program itu yang juga sebahagian usaha untuk mengurangkan pengangguran.
“Sehingga hari ini, lebih RM2 bilion sudah dibelanjakan. Namun, tidak dinafikan ada yang terlepas pandang dengan 66 syarikat dikenal pasti ambil kesempatan dan salah guna.
“Perkeso membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan dan ideologi politik,” katanya ketika berucap pada Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.
Leave a Reply