PAS dengan Amanah PAN

Mana boleh sama PAS dengan Amanah? – Idris

PAS tidak sepatutnya disamakan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dari segi tindakan dan pendekatan yang diambil dalam menangani isu-isu berkaitan penghinaan terhadap Islam.

Memetik laporan HarakahDaily, Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, pemimpin-pemimpin PAS adalah lebih lantang menyuarakan pandangan mereka dalam isu-isu tersebut.

“Janganlah kadang-kadang orang kata sejak PAS jadi kerajaan, PAS tidak lagi menyuarakan pandangan-pandangan baru ini dalam Parlimen, ada. Wakil rakyat PAN (Amanah) kata ini lebih kurang sama saja dengan PAN dengan Pakatan Harapan (PH) dia kata. Saya kata tak sama. Mana boleh sama dengan dia.

“Dia (PAN) lain, dia tak berani bercakap langsung bab-bab agama, bab Islam ni, kita cakap. Soal tak boleh buat, (itu) soal lain. Tang bercakap kita bercakap. Tang menentang, kita menentang. Tang tak betul, kita cakap tak betul.

“Benda-benda seperti begini, benda yang kita terus konsisten dengan sikap kita yang jelas. Kepada kita ialah soal amar makruf dan nahi mungkar dan perkara-perkara bukan saja kita nak beri kepada masyarakat itu, agama, kerohanian, malahan dari segi jasmani, sudut pembangunan juga kita tidak lupa untuk kita uruskan,” tegasnya dalam majlis Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, di Alor Setar malam tadi.

Beliau memahamkan isu dipertikaikan pihak tertentu berkaitan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melepaskan wanita yang didakwa menghina Islam dalam isu di sebuah kelab komedi setelah melalui proses nasihat dan juga isu peruntukan kewangan untuk tenaga pengajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di mana memerlukan tatacara kewangan ditetapkan.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menambah, walaupun lesen judi bukan di bawah bidang kuasanya, penguat kuasa JAWI tetap diarahkan memantau premis-premis judi.

Menurut beliau, hasil pemantauan tersebut mendapati hanya tiga peratus orang Islam memasuki premis menjual nombor ekor dan mereka telah ditahan.

Selain itu, Idris memberitahu, pihaknya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan sedang berusaha mengatasi masalah kegiatan pelacuran terutama yang bergelumang di sekitar Jalan Chow Kit yang dikatakan hampir dibanteras sepenuhnya.

“Yang ada ni hat muda-muda dia lebih kepada aplikasi yang melibatkan high class melalui handphone dan sebagainya. Yang hat biasa-biasa yang dialami di kawasan itu rupa-rupanya ialah masalah bersekedudukan haram. Kadang dah anak empat orang, tak tahu pak hat mana satu? Jadi budak-budak ni berpeleseran,” jelasnya.

Beliau menugaskan NGO-NGO terlibat menjejaki golongan tersebut untuk dilakukan proses pembaikan sehingga pasangan terbabit dinikahkan secara sah, manakala anak-anak yang bergelandangan dan tanpa sijil kelahiran akan diuruskan.

Kata beliau, golongan ini sekiranya tidak dibantu, maka mereka akan terus mewarisi masalah sosial tersebut yang dapat dilihat di sekitar Jalan Chow Kit, selain terjebak pula dengan jenayah lain, seperti dadah dan sebagainya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *