GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) sudah memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Memetik laporan Astro Awani, Pengerusinya, Datuk Hajiji Noor berkata, persiapan awal adalah penting bagi memastikan jentera parti termasuk ahli akar umbi sentiasa dalam keadaan bersedia.
“Kita perlu mengadakan persiapan lebih awal agar jentera pilihan raya GRS bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum akan datang”, katanya.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Ibu Pejabat GRS, Alamesra, di Kota Kinabalu, hari ini.
Mesyuarat dihadiri tiga Timbalan Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili, Datuk Jeffrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee.
Turut hadir Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun,Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai, Bendahari GRS Ardino Diris dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi parti itu.
Hajiji berkata, mesyuarat kali ini tidak membincangkan tentang permohonan parti-parti politik yang berminat menyertai GRS.
“Setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai penerimaan lain-lain parti ke dalam GRS. Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang”, jelasnya.
Sementara itu, GRS juga akan mengadakan jerayawara Program GRS Bersama Rakyat di setiap kawasan Parlimen di Sabah bermula Ogos ini bagi memberi penerangan kepada pengundi.
Leave a Reply