Oleh BADLISHAH MAT
PELUANG Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Kedah sukar ditafsir sekiranya gabungan itu bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu diakui Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan Kedah adalah ‘Swing State’ yang menjadi ‘perebutan’ antara Pas dan BN.
“Kedah ini ‘swing state’ di mana ada kalanya Pas menang dan kemudiannya BN menang. Jadi susah nak cakap. Tetapi dari segi pengamatan saya nampaknya jentera, strategi dan gerak kerja kita tampak meyakinkan.
“Tambahan pula banyak kawasan yang kita kalah majoritinya tak banyak dan kawasan yang menang sikit pun ada juga, jadi kita perlu berhati-hati,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan jentera UMNO Kedah hari ini.
Mohamad sebelum itu mengingatkan betapa dinamik politik kini sentiasa berubah-ubah walaupun BN dan UMNO telah membuat keputusan untuk bergerak solo bagi berdepan PRU15.
Menurutnya, keadaan itu tidak mustahil akan membuatkan gabungan tersebut melakukan pengubahsuaian bagi memastikan matlamat utama parti mencapai kemenangan tercapai.
“Dinamik politik berubah-ubah dan boleh jadi esok ada pula pandangan lain yang menyebabkan berlaku ubah suai. Apa yang penting adalah kita hendak menang.
“Untuk itu, kita kena buat cara nak menang dan dengan itu, wujudlah strategi seperti dinyatakan. Itu belum kita putuskan lagi dan ketika ini, kita buat laporan dalam parti sendiri dahulu.
“Kemudian baru lihat bagaimana keadaannya di setiap negeri dan kita akan buat kajian terperinci mengenai apa perlu dilakukan. Kita tak boleh macam dulu lagi dengan pendekatan sama untuk semua kawasan kerana kita mahu menang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO tidak berpecah kepada kem tertentu seperti didakwa dan menyifatkan tuduhan itu hanya bertujuan untuk memecah belahkan parti.
Katanya, kepimpinan tertinggi parti tidak perlu mengikut rentak pihak luar yang sentiasa memukul gendang kononnya UMNO kini berpecah.
“Saya tak perasan pula ada banyak kem, tak ada (kem) pun. Dalam ucapan saya kepada ahli dan pimpinan UMNO Kedah tadi pun ada menyebut perkara ini.
“Mereka (pihak luar) tak tahu saya selalu jumpa dengan pemimpin-pemimpin dalam parti, tak akan saya nak uarkan hari ni saya jumpa Perdana Menteri dan muat status dalam Facebook saya.
“Orang nak panggil kem siapa-siapa biarlah. Asalkan kami tidak terikut-ikut dengan dakwaan itu. Bak kata orang, kita tak menari ikut apa yang mereka pukul gendang. Kami relaks saja,” katanya.
Sementara itu, Mohamad meminta ahli UMNO bersikap matang sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan permohonan untuk meminda Perlembagaan parti, sekali gus menuntut pemilihan diadakan secepat mungkin.
Menurut beliau, semua pihak tidak perlu kelam kabut terhadap keputusan yang masih belum diperolehi daripada RoS memandangkan UMNO sendiri telah menulis surat kepada pertubuhan tersebut agar keputusan diberikan sebelum 31 Julai ini.
Leave a Reply