POLIS mengesahkan menerima laporan berkaitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang yang didakwa menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, laporan diterima pihaknya berkenaan kes itu yang tular dalam media sosial.
Bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk melakukan siasatan awal berhubung kes itu.
“Pihak polis sedia maklum dan menyerahkan siasatan awal kepada Perhilitan. Kita hanya mengetahui kejadian ini menerusi media sosial,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Kejadian seorang pemimpin di negeri ini menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia tular dalam Facebook baru-baru ini, dan membangkitkan kemarahan orang ramai.
Netizen membidas perbuatan yang tidak beretika dan bertanggungjawab dilakukan ADUN bersama rakannya itu yang dipercayai ‘ketua’ dari sebuah agensi kerajaan menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di sungai berkenaan.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook Pokmaq Kelah Emas dalam hantarannya mendakwa, ketika perjalanan untuk memancing ke Jeram Perahu dan Sungai Sepia pada 15 hingga 18 Julai lalu ‘terganggu’ apabila ada beberapa ‘orang kuat Pahang’ membaling bahan letupan ke dalam sungai.
Katanya, Sungai Sepia antara anak sungai di Ulu Tembeling yang pernah menjadi laluan Pahlawan Melayu Mat Kilau ketika dikejar askar British dan kini menjadi syurga bagi pemancing ikan seperti kelah dan ikan liar lain.
“Kejadian itu betul-betul di hadapan tapak khemah kami di Jeram Perahu. Selepas memarahi dan ditegur, mereka pulang semula ke tapak khemah mereka di bahagian hilir sungai,” katanya.
Leave a Reply