Cari siapa dalang di sebalik insiden hina agama

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) mendesak agar pihak berkuasa mencari siapa di belakang tabir individu yang menaja, membiayai dan menyusun agenda menghina agama baru-baru ini.

Menurut Penasihat UMMAH, Kamaruzaman Mohamad, ini kerana isu sensitif seperti itu sudah tentu tidak akan berani dipermainkan tanpa ada sokongan yang kuat di belakang mereka.

“Ini kerana mereka akan berdepan tindakan undang-undang, saman dan sebagainya. Saya pasti ada pihak-pihak yang berada di belakang mereka.

“Agenda ini bukannya kecil kesannya kerana ia akan mewujudkan pertembungan antara agama dan kaum.

“Siapa yang akan mendapat manfaat daripada ketidakseimbangan serta tidak hormat-menghormati antara agama dan kaum ini.

“Mereka inilah yang sebenarnya menjadi dalang kepada agenda besar ini,” katanya kepada pemberita semasa Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Dataran Masjid Putra, Putrajaya, hari ini.

Kamaruzaman berkata, pihaknya menggesa agar perkara ini diselesaikan sehingga ke peringkat akar umbi kerana tidak mahu berulang kembali.

“Kita nak jaga keharmonian negara untuk jangka masa panjang,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas pusat, Datuk Awang Hashim pula berpandangan, perkara seperti ini boleh menimbulkan huru-hara dan pergaduhan jika silap diambil perhatian.

Beliau turut menggesa agar umat Islam di negara ini meningkatkan ilmu kefahaman tentang agama Islam.

“Kita tidak boleh mengikut atau dipengaruhi mana-mana pihak.

“Kita mesti sedar setiap masa kita dikelilingi oleh mereka yang sedang menjalankan unsur-unsur untuk menghina atau memperlekehkan Islam ataupun menyerang Islam di semua sudut,” tegasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *