Remaja hilang di pusat peranginan 5 hari lalu ditemukan mayatnya

SEORANG remaja yang dikhuatiri lemas di sebuah pusat peranginan di Kampung Kenunok, Kuala Penyu, Beaufort, ditemui 7.89 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang, sejak lima hari lalu ditemukan malam tadi.

Mayat Edward Owan, 17, ditemui penduduk Kampung Tempurong, di kawasan pesisiran Pantai Batu Luang, Kuala Penyu pukul 9.55 malam.

Pihak bomba menerima panggilan daripada ketua Kampung Tempurong, Kuala Penyu, yang memaklumkan penemuan satu mayat lelaki.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, berdasarkan maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi penemuan.

“Pasukan operasi terus mengambil mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat berkenaan disahkan sebagai mangsa selepas proses pengecaman yang dilakukan di hospital oleh keluarganya.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.56 malam,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Dalam kejadian 16 Julai lalu, mangsa dilaporkan bersama enam lagi rakannya berada di pusat peranginan di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di pesisir pantai berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan bomba.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *