Pasangan kekasih ditahan bersama 300kg ketulan ganja bernilai RM750,000

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

POLIS menahan sepasang kekasih dan merampas sebanyak 300 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM750,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Impian, Bukit Mertajam, Pulau Pinang Sabtu lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, operasi kira-kira pukul 9 malam itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman; JSN Perlis dan JSJN Pulau Pinang.

Menurut beliau, pasangan itu merupakan lelaki warga tempatan dan kekasihnya warga Indonesia yang masing-masing berusia 41 dan 37 tahun menyewa bersama di rumah terbabit dan dipercayai menjadi ahli sindiket kumpulan pengedaran dadah.

“Hasil serbuan di dalam rumah itu, kita menjumpai sebanyak 12 kotak polisterina yang setiap satunya berisi 24 ketulan mampat ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) hari ini.

Menurut Surina, pihaknya percaya ganja itu diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut sebelum dihantar ke Pulau Pinang menggunakan jalan darat.

Katanya, rumah yang disewa pasangan kekasih itu pula dijadikan transit sebelum bekalan ganja terbabit dihantar untuk diedarkan di Lembah Klang.

“Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung berapa lama sindiket ini telah beroperasi serta giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang lain,” katanya.

Ujar beliau, saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif sebarang jenis dadah selain masing-masing tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun katanya, semakan mendapati pasangan terbabit tiada surat nikah walaupun tinggal serumah, malah suspek wanita juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, dari Januari sehingga Jun lepas, polis Perlis berjaya merampas sebanyak 364 kg ganja yang diseludup masuk melalui sempadan negeri itu membabitkan 16 tangkapan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *