PENOLAKAN orang Melayu terhadap DAP menjadi antara faktor yang menyebabkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) enggan menyertai gagasan khemah besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sehubungan itu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, pintu rundingan bagi partinya untuk membincangkan gagasan tersebut dengan parti-parti lain sudah tertutup sama sekali.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat Pejuang susulan parti tersebut mempunyai pendapat berbeza selain sokongan oleh rakyat terhadap mereka tidak begitu jelas.
“Umpamanya ramai orang Melayu tidak boleh terima DAP. Jadi, kalau kita bawa masuk DAP, maka ramai orang Melayu yang akan menolak kita.
“Jadi, kita tidak akan mengadakan kerjasama dengan PH, sama ada dengan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) atau pun PKR,” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik Sinar Harian.
Dr Mahathir menambah, Pejuang hanya mahu bekerjasama dengan orang tidak terlibat politik dan tidak membangkitkan perasaan benci kepada mereka.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, kegagalan parti-parti pembangkang dan Perikatan Nasional (PN) mengelakkan pertembungan banyak penjuru telah membuka laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa di negeri itu dengan majoriti lebih dua pertiga.
Pejuang menerima tamparan hebat di mana kesemua 42 calonnya bukan sahaja kalah, malah mereka hilang wang deposit.
Susulan keputusan PRN Johor, penganalis politik mendapati kemaraan BN dapat dihalang sekiranya parti-parti pembangkang dan PN bersepakat untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru.
Berdasarkan keputusan PRN itu, gabungan jumlah undi parti-parti pembangkang dan PN di sebahagian besar kerusi adalah lebih tinggi berbanding jumlah yang diperoleh calon-calon BN.
Kemudian, timbul gagasan khemah besar bagi membentuk permuafakatan strategik parti-parti selain BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Idea itu mendapat sambutan menggalakkan daripada Bersatu dan beberapa pemimpin Amanah serta PKR termasuk Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Namun, pemimpin-pemimpin pembangkang yang lain seperti Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menentang keras gagasan khemah besar.
Dengan keputusan muktamad yang diumumkan Dr Mahathir, gagasan khemah besar sukar dilaksanakan dan bakal mengulangi padah yang serupa seperti apa yang berlaku pada PRN Johor dahulu.
Leave a Reply