Oleh RIZQI ZABIDI
PAS Kedah menolak dakwaan kononnya parti itu memiliki perancangan untuk menggantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan individu lain bagi memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar.
Menurut Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya, perkara itu langsung tidak pernah dibincangkan dalam Pas Kedah.
Malah katanya, pihaknya akan mencadangkan kepada Pas Pusat untuk mengekalkan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar, dengan perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Saya tak tahu bagaimana dakwaan itu timbul kerana perkara tersebut sama sekali tidak pernah dibincangkan. Saya sendiri tiada sebarang maklumat mengenai perkara itu.
“Jika cuba dikaitkan dengan bencana di Baling baru-baru ini, kita lihat Muhammad Sanusi dan kerajaan negeri sedang melakukan segala-galanya untuk membantu mangsa terlibat.
“Desas-desus itu adalah tidak berasas. Apabila sesuatu perkara itu tidak berasas, mulalah kita membuat andaian dan timbullah satu demi satu persepsi bagi menghangatkan perbincangan di kedai kopi,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.
Sebelum ini timbul khabar angin menyatakan Muhammad Sanusi telah mengarahkan kakitangan serta pegawainya mengemas pejabat kerana jawatan itu akan dikosongkan.
Pengosongan jawatan itu kononnya mempunyai kaitan dengan tragedi kepala air dan banjir yang berlaku di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu yang dikatakan amat menjejaskan Muhammad Sanusi.
Ahmad dalam pada itu memaklumkan, pihaknya akan terus mempertahankan Muhammad Sanusi yang mendapat perkenan Sultan Sallehuddin bagi menjawat jawatan itu.
“Sewaktu tragedi itu berlaku, saya sendiri ke Baling dan penduduk di sana sentiasa tersenyum setia kali menerima pelbagai bantuan daripada pelbagai pihak terutama kerajaan negeri. Jadi bagaimana boleh kita katakan Muhammad Sanusi tidak cekap menguruskan bencana.
“Dalam isu pelantikan Menteri Besar, hanya Pas Pusat yang layak mencadangkan siapa yang layak memegang jawatan tersebut sekiranya Pas memiliki kerusi cukup untuk menerajui negeri,” katanya.
Leave a Reply