SEBUAH BMW remuk teruk akibat dihempap lori tangki yang mengundur selepas brek kenderaan itu gagal berfungsi di atas Jambatan Telok Datok dekat Kilometer 32, Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, ketika kejadian pada pukul 7.25 malam, lori berkenaan dalam perjalanan dari Klang ke Banting.
Setibanya di lokasi, brek lori tidak berfungsi dan menyebabkan lori mengundur ke belakang secara sendiri sebelum hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.
“Kemudian, lori tangki itu juga turut melanggar sebuah kereta jenis BMW sebelum terbalik secara melintang menutupi kedua-dua lorong laluan dari arah Klang,” katanya memetik laporan Utusan TV hari ini.
Akibat kemalangan itu laluan dari Klang menghala ke Banting ditutup dan laluan kontra telah dibuat bagi melancarkan aliran trafik.
Jelasnya, pemandu lori dan pemandu kereta BMW tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply