2 kilang logam dikompaun RM10,000 gagal urus sisa berjadual

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 ke atas dua buah kilang kerana gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kedua-dua kilang yang beroperasi di Kawasan Perusahaan Perai itu terlibat dengan industri perusahaan berasaskan logam.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kegagalan menguruskan buangan berjadual di kilang itu meliputi isu pelabelan, penstoran serta penyediaan inventori buangan yang betul.

“Persampelan terhadap buangan terjadual itu turut dijalankan oleh pasukan penguat kuasa JAS sebelum sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk dianalisis.

JAS mengeluarkan kompaun RM10,000 ke atas dua buah kilang kerana gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di Kawasan Perusahaan Perai, Pulau Pinang yang terlibat dengan industri perusahaan berasaskan logam.

“Pada masa sama, bekas-bekas yang mengandungi buangan terjadual ini turut dikondon dan notis arahan juga dikeluarkan bagi memastikan kaedah pelupusan yang akan diambil oleh pihak premis mematuhi kehendak perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah turut mengingatkan pihak industri supaya sentiasa memastikan tahap pengurusan buangan terjadual yang dikeluarkan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Tambah beliau, JAS sentiasa bersedia membantu pihak industri atau pemaju yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan pengurusan buangan terjadual.

“Pemilik atau pengusaha premis berkenaan boleh menghubungi atau menghadiri latihan-latihan yang disediakan oleh JAS Pulau Pinang dari semasa ke semasa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *