AHLI-AHLI PKR yang menggesa agar Memorandum Persefahamanan (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan dimansuhkan dikatakan gagal melihat gambaran keseluruhan inisiatif tersebut.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, para pengkritik perlu merujuk kepada dokumen itu untuk membetulkan tanggapan mereka yang salah.
Menurut beliau, salah satu tanggapan yang salah itu adalah pembangkang tidak akan menegur kerajaan dalam isu yang tidak disebut dalam dokumen, seperti kenaikan harga barang.
“Kami masih mengkritik kerajaan mengenai perkara ini,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Sebagai contoh, Salahuddin memberitahu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kerajaan kerana menubuhkan jawatankuasa Kabinet mengenai harga barangan setelah setengah tahun rakyat bergelut dengan peningkatan kos.
Beliau menambah, PH jelas mengenai perkara yang dikehendakinya dalam MoU itu, seperti pengurusan COVID-19 yang betul dan penggubalan undang-undang antilompat parti.
“Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar,” katanya sambil menambah, tuntutan-tuntutannya tidak dapat dipenuhi tanpa MoU.
Pada Ahad lalu, beberapa perwakilan dalam Kongres Nasional PKR berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan MoU melebihi 31 Julai.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Aizuddin Ariffin berkata, perjanjian itu sepatutnya sudah dibatalkan apabila Putrajaya ternyata gagal menangani isu yang menjadi kebimbangan umum, seperti kenaikan harga barangan dan ketidakcekapan menteri.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin pula berkata, tiada sebab untuk MoU itu diteruskan kerana kerajaan telah memungkiri banyak janjinya.
Leave a Reply