Nurul Izzah kembali sebagai Naib Presiden PKR

NURUL Izzah Anwar akan kembali memegang jawatan Naib Presiden PKR selepas melepaskan jawatan itu pada penghujung 2018.

Sumber memberitahu portal Malaysiakini, Nurul yang juga Ahli parlimen Permatang Pauh dikatakan bersetuju untuk dilantik semula ke jawatan itu.

“Semalam, Presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Presiden Rafizi Ramli  dan seorang lagi individu yang merupakan Penasihat Anwar.

“Hasil mesyuarat, semua pihak setuju melantik Nurul sebagai naib presiden,” kata sumber itu.

Untuk rekod, pada 17 Disember 2018, Nurul Izzah membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Sementara itu, buat masa ini pucuk pimpinan parti bersetuju melantik Ahli Parlimen Selayang William Leong sebagai Bendahari manakala Manakala, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Lantikan itu dijangka dibawa untuk kelulusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual bermesyuarat malam ini dan diumumkan selepas itu.

Setakat ini difahamkan tiada bantahan terhadap cadangan pelantikan jawatan-jawatan di atas.

“Setahu saya, tiga jawatan ini dimuktamadkan. Bagi jawatan yang lain Presiden akan mengadakan perbincangan dengan Rafizi hari ini sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malam ini,” katanya.

Dalam pada itu, satu lagi sumber memberitahu bahawa PKR masih tidak mengambil keputusan mengenai jawatan Setiausaha Agung.

“Selain Saifuddin (Nasution Ismail), bekas pengerusi Wilayah Persekutuan Zahir Hassan disebut-sebut sebagai Setiausaha Agung. Zahir adalah pilihan Rafizi. Namun, kebanyakan pemimpin parti masih nak Saifuddin dikekalkan. Apapun, keputusan muktamad akan dibuat malam ini,” katanya.

Kongres tahunan PKR di Shah Alam baru-baru ini, gambar hiasan

Ketika dihubungi, Saifuddin berkata dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai jawatan setiausaha agung.

“Tiada apa-apa info diterima. Saya sekarang berada di Pulau Pinang bermesyuarat bersama ketua menteri.

“Saya kini fokus sebagai Adun Pulau Jerejak dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *