Oleh MASSITA AHMAD
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, lawatan rasmi baginda ke Singapura yang bermula hari ini (20 Julai), bukan sahaja akan terus mengukuhkan hubungan Johor dan republik berkenaan, malah membawa manfaat melalui kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat.
“Adalah besar harapan saya bahawa lawatan ini akan mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama secara berterusan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang dianjurkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Istana, sempena lawatan rasmi baginda ke republik itu.
Berangkat sama mengiringi baginda, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Hadir sama isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga berbesar hati atas undangan rasmi daripada Perdana Menteri Singapura dan menghargai kepemimpinan, visi serta aspirasi beliau dalam memajukan serta memakmurkan negara itu.
“Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek telah memberi manfaat kepada Johor terutama dalam pembangunan sosioekonominya. Saya juga mendoakan kesihatan anda (Lee) yang baik serta Singapura yang makmur dan sejahtera,” titah Sultan Johor.
Sementara itu, Lee dalam ucapannya menghargai persahabatan Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama, serta turut bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama.
“Saya yakin dengan sokongan Tuanku, hubungan Singapura dan Johor akan terus terpelihara dengan kukuh,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply