zalina azman polis

Rakan-rakan rayu bantu kesan Zalina

RAKAN-rakan bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November lalu, Datuk Aznil Nawawi dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi meminta orang ramai membantu mencari sahabat mereka itu.

Menerusi tiga hantaran dalam laman Instagram (IG), Ras Adiba meminta Zalina segera pulang.

“Di mana awak Zally? Tolonglah pulang, pulang ke rumah,” tulisnya.

Aznil pula meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai rakan seperjuangannya menghubungi pihak polis.

“Siapa yang ada maklumat di mana kawan Pak Nil, Zalina Azman berada tolong hubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Sabturia 03-55194622,” tulisnya dalam IG.

Sementara itu seorang lagi rakan Zalina, Zakiah Anas mendoakan Zakiah segera ditemukan.

Bercakap kepada Berita Harian, Zakiah berkata, Zalina seorang sahabat yang sangat baik dan disayangi semua rakan-rakan.

Beliau yang mengakui terkejut apabila berita kehilangan Zalina tular, memandangkan beliau baik dengan semua orang.

“Kami cuba menghubungi Zalina, selama ini. Saya antara geng lama yang memang rapat dengannya.

“Antara lain, Dang Suria Zainurdin, Sharifah Shawati, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan ramai lagi. Ini memang geng lama ketika kami bekerja di studio TV3, Jalan Liku, Bangsar.

“Jadi, apabila nak berjumpa, kami cuba menghubunginya, tetapi tak dapat. Malah, apabila menghubungi, tiada dering. Itu pun sangat lama, saya rasa dalam beberapa tahun lalu saya cuba menghubunginya.

“Kami ingatkan Zalina mahu menjalani kehidupan ‘low profile’, jadi kami hormati pendiriannya. Namun, kami terkejut apabila anaknya membuat laporan polis.

“Rupa-rupanya dalam masa tertanya-tanya, anak dia pun sedang mencari,” katanya.

Tambah Zakiah, kali terakhir bertemu dengan Zalina sebelum sahabatnya itu berangkat ke tanah suci bagi menunaikan haji.

“Saya rasa kali terakhir saya berjumpa ketika Zalina membuat majlis doa selamat sebelum ke Makkah. Kalau tak salah dalam 2013. Lepas balik haji, kami terus tidak berhubungan.

“Jadi, sangat lama kami tidak berjumpa dengan Zalina.

“Kami ‘lost contact’ sejak tidak bekerja dengan TV3. Dia pun mungkin sibuk dengan keluarganya, jadi kami tak nak kacau dan faham kehidupan masing-masing.

“Dengan rakan lain, walaupun tak jumpa, kami masih berhubungan. Malah, Zalina juga tiada laman sosial seperti Facebook dan Instagram kerana dia sangat ‘low profile’. Kawan baiknya, Ras Adiba dan Datin Nor Azlina Redzuan juga tidak dapat menghubunginya,” katanya.

Sehubungan itu, Zakiah tidak menafikan, dia sedih mendengar berita kehilangan sahabat baiknya itu.

“Kami tiada isu dengan Zalina. Dia seorang yang sangat baik dan semua orang sayang dan sukakannya.

“Dia bukanlah seorang yang dibenci. Jujurnya, memang ada persoalan di mana Zalina sebab lama tak jumpa setiap kali ada pertemuan dengan rakan-rakan.

“Saya ada cuba hubungi Zalina, tetapi tak dapat ketika mahu berkahwin pada 2012.

“Ada juga rakan-rakan yang mengatakan pernah berjumpa dengannya di Shah Alam pada 2019. Diharapkan, Zalina segera ditemui, insya-Allah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *