Abu Irfan Muhammad Al-Urduni

Kejahilan, kebodohan antara faktor hina Islam

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEJAHILAN dan kebodohan dalam urusan agama adalah antara faktor penyebab utama yang menjerumus seseorang individu menghina agama Islam.

Ketua Penerangan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, perbuatan yang dilaknat Allah itu juga didorong faktor persekitaran dan perundangan.

Justeru katanya, Pas Johor menggesa usaha memartabat dan memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah di negara ini setanding dengan mahkamah sivil.

Jelasnya, langkah itu akan dapat membendung salah laku yang berkaitan masyarakat Islam khasnya.

“Usaha ke arah memartabatkan undang-undang Islam perlu dipergiatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, selain itu ibu bapa, guru, pendidik dan semua pihak perlu prihatin dan mengambil langkah perlu bagi memastikan anak-anak dan pelajar muslim khasnya memahami dengan mendalam perkara asas dan prinsip dalam Islam.

Pembentukan jati diri mukmin katanya, iaitu muslim yang memahami dan beramal dengan ajaran Islam perlu diperkasa bermula dari rumah, sekolah dan universiti demi melihat generasi yang teguh imannya.

Beliau berkata, perbuatan mempersendakan agama sama ada dengan perkataan, perbuatan atau lainnya adalah suatu kesalahan yang amat besar di sisi Allah dan umat Islam.

Ujarnya, perbuatan memperlekehkan pemakaian Islam yang menutup aurat, mempersendakan sunnah Rasulullah SAW, memperkecilkan dan mempertikaikan hukum Allah dan menghina para ulamak pewaris nabi adalah sebahagian daripada perbuatan mempersendakan agama yang berlaku mutakhir ini.

“Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengundang kemarahan orang yang beriman, bahkan lebih besar lagi mengakibatkan kemurkaan Allah SWT yang boleh mengakibatkan pembalasan segera jika tidak dibendung,” katanya.

Serangan pemikiran yang berlaku katanya, akan mengakibatkan generasi yang tidak memahami Islam secara mendalam boleh tergelincir dan terpesong.

“Kemunculan kumpulan dan individu yang mempersendakan agama ini boleh diibaratkan sebagai suatu proses pembersihan daripada Allah SWT yakni membersihkan jiwa dan jati diri umat Islam daripada fahaman yang mengelirukan dan menyesatkan setelah dikenali punca dan pembawanya,” katanya.

Pas Johor katanya, mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak berkuasa atas tindakan tegas yang segera terhadap mereka yang terlibat mempersenda dan menghina agama Islam.

Pada 13 Julai, Siti Nuramira Abdullah telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Kelmarin pula, polis Serdang menahan seorang lelaki berumur 39 tahun kerana menghina agama Islam dalam media sosial, di sebuah rumah di Puchong selepas tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkannya menghina Nabi Muhammad SAW, Allah SWT serta agama Islam, dan turut mencabar pertubuhan badan bukan kerajaan yang berkaitan untuk bersemuka dengannya.

Selain itu semalam, tular pula satu video menghina Islam di laman sosial yang menunjukkan seorang lelaki didakwa menghina ALLAH dan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata makian.

Dalam video berdurasi 36 saat itu, lelaki berkenaan juga didakwa mencabar orang Melayu dan Islam supaya bertemu dengannya sebelum suspek, 39, pada pukul 12.30 tengah hari Isnin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *