Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki yang dipercayai bertindak sebagai keldai akaun oleh sindiket pinjaman online dan pelaburan tidak wujud serta Macau Scam dalam serbuan berasingan di negeri itu dan di Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua suspek lelaki berusia 25 hingga 48 tahun itu ditahan hasil risikan polis terhadap kegiatan mereka sejak seminggu lalu.
Menurut beliau, dua daripada suspek itu ditahan di Batu Maung dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang manakala dua lagi suspek ditangkap di Taiping dan Bagan Serai, Perak.
“Berdasarkan siasatan awal, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah antara RM13,000 hingga RM400,000 dan melibatkan kes yang dilaporkan sejak 2019 hingga tahun ini.
“Empat suspek ini kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara (sambilan), Macau Scam dan sebagainya.
Katanya, orang ramai juga diminta membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun di Aplikasi Google Play Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.
Leave a Reply