Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menggesa undang-undang sedia ada disemak semula dan diperketatkan dalam membendung individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menghina peribadi Nabi Muhammad SAW dengan pelakunya dikenakan hukuman lebih keras demi memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Menurut Wan Salim, mereka yang sering mengamati dan meneliti sikap dan pendirian umat Islam di seluruh dunia dengan mudah dapat menyimpulkan bahawa tiada mana-mana manusia yang amat disayangi oleh para pengikutnya lebih daripada Nabi Muhammad SAW.
“Bagi umat Islam, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja disanjungi dan dihormati sebagai seorang pemimpin paling agung yang pernah lahir di dunia sepanjang zaman.
“Malah, Baginda adalah satu figura suci yang wajib diikut dan dijadikan teladan paling utama dan ideal di dalam segenap lapangan kehidupan individu dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kedudukan peribadi Baginda Rasulullah SAW begitu unggul pada pandangan umatnya sehinggakan bukan sesuatu yang aneh jika setiap individu Muslim bersedia mengorbankan apa sahaja yang ada termasuk nyawa sendiri untuk membela dan mempertahankan nama baik Rasulullah sekiranya Baginda dihina atau dicerca oleh mana-mana individu atau kumpulan.
Katanya, hakikat itu perlu difahami oleh semua pihak supaya tidak menimbulkan atau melakukan sebarang perbuatan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap sebagai menghina, mencerca atau merendah-rendahkan kedudukan pemimpin agung umat Islam itu supaya tidak menimbulkan kemarahan mereka.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai tidak wajar bertindak sendirian dalam menghukum mereka yang menghina Baginda Rasulullah SAW sebaliknya perlu menyerahkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa untuk mengatasinya menurut saluran undang-undang sedia ada.
Sebelum ini, tular satu video menghina Islam di laman sosial yang menunjukkan seorang lelaki didakwa menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata makian.
Dalam video berdurasi 36 saat itu, lelaki berkenaan juga didakwa mencabar orang Melayu dan Islam supaya bertemu dengannya.
Susulan video berkenaan, seorang suspek berusia 39 tahun ditahan pukul 12.30 tengah hari semalam di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai, Puchong, Selangor.
Leave a Reply