Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tahu dan memiliki maklumat siapa individu yang bertanggungjawab menandatangani surat bagi meluluskan tanaman Musang King di Gunung Inas, Baling.
Justeru, beliau memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu agar tidak memaksanya untuk mendedahkan dalang sebenar di sebalik pelaksanaan ladang tersebut.
“Saya tahu siapa yang tandatangan surat untuk luluskan Musang King. Semua perkara itu termasuk surat berkaitan ada pada saya.
“Jadi jangan paksa saya dedahkan semua ini. Saya pun dah janji tak mahu main ‘blame game’, jadi saya akan bersikap adil kepada semua orang,” katanya dalam sidang akhbar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Alor Setar hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang cuba membuat usul supaya Sidang DUN hari ini turut membahaskan mengenai tragedi kepala air dan banjir yang berlaku di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau memiliki dua dokumen yang diserahkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) iaitu laporan kejadian serta kronologi situasi yang berlaku di Gunung Inas sejak 2007.
Namun tidak berhasrat untuk mendedahkan kedua-dua dokumen tersebut buat masa ini kerana mahu menunggu laporan teknikal lain daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar rangkuman mengenai kejadian itu dapat dibuat.
“Ada macam-macam sebenarnya dalam laporan ini dan kalau mereka (pembangkang) lebih-lebih tadi, kenalah. Jika ada ada antara mereka yang tak mahu mengaku, ‘tala’ orang itu dan ini atau mahu salahkan kerajaan negeri dari 2008 hingga 2013, saya mahu katakan sebahagian mereka ada dalam kerajaan negeri sewaktu Musang King diluluskan.
“Takkanlah mereka lupa walaupun sudah bertukar parti. Pada masa itu mereka ada dalam kerajaan malah ada yang bergelar Exco kanan,” katanya.
Dalam pada itu, kesimpulan yang diterima daripada laporan serta kronologi diserahkan JPNK kepadanya itu menunjukkan bahawa kawasan ladang hutan yang telah digondolkan, tidak ditanam semula dengan tanaman lain.
“Mungkin kerana mereka berniat untuk menanam tanaman lain iaitu Musang King, selain pokok getah klon balak (TLC) yang ditetapkan dalam kelulusan ladang hutan. Jadi penyelesaian kepada Gunung Inas ini adalah tanam kembali pokok-pokok di situ.
“Cumanya dalam perbincangan saya bersama JPNK semalam, kalau kita tanam TLC, kita perlu menuai TLC tersebut dan Gunung itu akan gondol semula. Jadi timbul persoalan sama ada penggondolan itu akan menyebabkan banjir kembali di kawasan terbabit,” katanya.
Oleh yang demikian, satu perbincangan dengan jabatan teknikal mengenai spesis pokok yang sesuai untuk ditanam di kawasan itu akan dilakukan.
Sementara itu, ketika sidang akhbar berasingan pada program Bayaran Tanpa Tunai dan iHasil Kedah pula, Muhammad Sanusi tertanya-tanya saiz kolam takungan yang dibina untuk projek tanaman durian Musang King yang disahkan pecah oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Kalau satu kolam sebesar itu airnya sampai sehingga ke 42 buah kampung, besar mana (agaknya) kolam itu, kita kena fikir dahulu.
“Kalau hujan tak lebat, kolam itu besar mana? Limpahan air sebanyak itu (turut) membawa tanah, pasir yang banyak (sehinggakan) hanyut 17 rumah. Besar mana kolam itu,” katanya.
Leave a Reply