rafizi najib

Jangan biarkan Najib terus ‘meracun’ rakyat – Rafizi

RAFIZI Ramli bertekad mahu menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada berterusan ‘meracun’ pemikiran rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Timbalan Presiden PKR dalam Kongres Nasional parti itu di Shah Alam hari ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Rafizi menggesa laporan polis dibuat secara besar-besaran terhadap Najib di seluruh negara Selasa ini.

Beliau juga mahu semua ahli PKR mula bertindak aktif menyanggah apa saja propaganda ditonjolkan oleh Najib.

“Kita kena sanggah UMNO, tak boleh biarkan dia bermaharajalela, tak boleh biarkan Najib syok racun rakyat.

“Mulai hari ini semua kita bila balik, kita terus sanggah Najib sehingga kita hantar dia ke penjara.

“Hari Selasa nanti kita buat laporan polis secara besar-besaran, tak boleh biarkan dia main isu perkauman.

“Sepas ini kalau Najib berbohong kita buat laporan polis demi laporan polis… sebab saya tahu Najib ni penakut,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menambah, Najib yang sudah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dilihat semakin ‘menggila’ dan situasi itu perlu ditamatkan.

Dalam pada itu, berhubung kritikannya terhadap pucuk pimpinan parti, Rafizi berkata, beliau bukanlah jenis pemimpin yang hanya manis di bibir tetapi tergamak berbuat khianat di belakang parti.

“Saya telah buktikan saya tak berminat dengan jawatan menteri atau jawatan awam. Semasa Pakatan Harapan (PH) menang 2018, saya menjadi ahli biasa seperti saudara saudari.

“Saya bukan jenis manis di bibir tikam di belakang. Masa Anwar masuk penjara saya tak pernah janji nak rempuh pecah tembok penjara,” jelasnya.

Semalam, Rafizi secara terbuka mengkritik kepimpinan Anwar selaku Presiden PKR dengan menyifatkan populariti pemimpin utama PKR itu making pudar.

Rafizi berkata pemimpin lain dalam PKR pula tidak perlu menjadi pembodek Anwar dengan mempertahankan pemimpin utama itu apabila dikritik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *