rundingan pembangkang

Perbalahan soal calon PM tak jejas rundingan kerusi blok pembangkang

PINTU rundingan tentang pembahagian kerusi masih terbuka bagi mengelakkan parti-parti dalam blok pembangkang bertembung sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha itu tetap diteruskan walaupun terdapat perbezaan pandangan dari segi pencalonan Perdana Menteri.

Ketika ini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkeras mahu mencalonkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.

Walau bagaimanapun, PH tetap tidak barganjak daripada keputusan mencalonkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan tersebut.

“Soal rundingan kerusi masih boleh bincang antara pembangkang. Walaupun ada parti mahu orang tertentu sebagai calon PM, yang penting antara pembangkang kita usaha satu lawan satu, elak banyak pertembungan.

“… sebab itu kita tidak mahu isu jawatan perdana menteri menjadi satu benda yang tak elok, kalau nak bincang sampai kiamat kita tak boleh selesai isu PM. Jadi bagi PH siapa nak bersama kita untuk menentukan satu lawan satu kita alu-alukan,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau menambah, tidak perlu diletakkan syarat mengenai siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri nanti.

Pada masa yang sama, Salahuddin berkata, Amanah menghormati tindakan parti pembangkang di luar gabungan PH termasuk Pejuang menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri buat kali ketiga jika parti itu menang pada PRU-15.

Namun katanya, ia tidak sedikit pun mengubah perjanjian yang dibuat antara parti komponen PH untuk mengangkat Anwar bagi jawatan berkenaan.

“Kalau parti-parti pembangkang lain tak setuju (dengan pencalonan Anwar sebagai calon PM) kita ucap terima kasih, itu hak mereka tapi ia tidak boleh mengubah perjanjian kita dalam PH menamakan Anwar sebagai calon PM,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan pemimpin parti pembangkang supaya tidak mengikut jejak parti kerajaan yang merebut jawatan sebaliknya fokus mencari jalan membantu rakyat dan menyelamatkan negara.

“Saya harap semua pemimpin politik buang air dalam kepala, supaya mereka boleh fikir secara tenang, yang perlu difikirkan ialah soal rakyat dan masa depan negara bukan soal merebut jawatan – ini menyebabkan rakyat makin muak dengan orang politik,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *