KERAJAAN negeri Selangor melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan fasiliti sukan sekitarnya dengan kos ditetapkan sekitar RM787 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri hari ini menyerahkan surat niat (LOI) kepada MRCB selepas melalui proses yang panjang dan teliti bermula 2013 melibatkan 15 syarikat.
“MRCB dipilih berdasarkan kemampuan teknikal dan kewangan mereka, malah syarikat itu pernah terlibat dengan projek baik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017 dengan kos berjumlah RM1 bilion,” katanya.
Terdahulu, Amirudin menyaksikan penyerahan LOI tersebut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.
Amirudin berkata projek itu akan dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta dengan MRCB akan menanggung kos pembangunan tanpa menggunakan dana awam dan syarikat itu akan dianugerahkan pertukaran tanah kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.
Katanya, projek tersebut dijangka bermula seawal tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026 seiring dengan pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang berdekatan dengan kawasan kompleks berkenaan.
“Stadium Shah Alam ini akan diinspirasikan berdasarkan Stadium Ajax Amsterdam dengan kapasiti sekitar 60,000 ke 70,000 penonton,” katanya.
Beliau berkata Stadium Shah Alam berusia 28 tahun itu mengalami kerosakan termasuk bilik persalinan, bekalan elektrik, tempat duduk penonton ekoran tiga kejadian banjir pada 2006, 2015.
Kos pembinaan stadium tersebut menelan belanja RM400 juta dan dirasmikan pada 16 Julai 1994.
-Katanya, tahun lalu, kos penggantian bumbung polikarbonat menelan belanja antara RM500 hingga RM1,000 sekeping.
Amirudin berkata satu pameran mengenai pembangunan kompleks itu akan diadakan pada September ini agar orang ramai dapat memahami rancangan pembangunan berkenaan dan turut boleh berkongsi maklum balas mereka di pameran itu.
— BERNAMA
Leave a Reply