JENAZAH empat beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Ipoh, Perak petang semalam selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Jenazah suami isteri, Allahyarham Rahim Ramli, 60 dan Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka iaitu Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Van yang membawa jenazah empat beranak itu tiba di pekarangan Masjid Permatang Pasir kira-kira pukul 1.30 pagi selepas selesai menjalani proses bedah-siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Sementara itu, suasana pilu dan hiba dapat dirasai di tanah perkuburan tersebut ketika urusan pengkebumian dengan ahli keluarga; sanak-saudara dan orang ramai membanjiri kawasan tanah perkuburan tersebut.
Dalam pada itu, dua anak keluarga berkenaan iaitu Muhamad Hazman Rahim, 20, yang merupakan satu-satunya anak lelaki keluarga berkenaan dan Nor Fatini, 22, dilihat tidak dapat menahan sebak dan kesedihan sepanjang urusan pengkebumian ahli keluarga mereka.
Dalam pada itu, menurut laporan Sinar Harian, anak saudara kepada Siti Petimah yang mahu dikenali sebagai Atie, 43, berkata, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah untuk menghantar seorang anak perempuan mereka yang baru mendapat kerja di Kuala Lumpur.
Menurutnya, keluarga itu bertolak awal pagi dan kali terakhir dapat dihubungi sekitar pukul 12 tengah hari ketika mereka berada berhampiran Alor Pongsu, Perak.
“Sekitar pukul 4.30 petang saya cuba untuk hubungi ibu saudara saya untuk bertanyakan sudah sampai di mana, namun talian tidak bersambung.
“Saya cuba telefon ke nombor lain, tetapi tiada satu pun yang berjaya membuatkan hati saya tak tenang.
“Sampailah saya dapat panggilan daripada seorang lagi makcik maklumkan kejadian itu,” katanya.
Leave a Reply