TOK CHEY menerima banyak rungutan daripada orang ramai yang bimbang dengan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan dasar kadar semalaman (OPR) 50 mata asas (bps) lagi menjadi 2.75 peratus menjelang hujung tahun ini.

Kebimbangan itu makin bertambah apabila terdapat nota penyelidikan daripada firma kewangan yang menjangkakan OPR akan mencecah 3 peratus pada tahun 2023.

Orang ramai berpandangan bahawa, dua kenaikan OPR pada 11 Mei dan 6 Julai lalu sebenarnya sudah membebankan mereka yang rata-ratanya terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk membayar faedah pinjaman peribadi, rumah, kereta dan hutang-hutang lain.

Ya memang diakui OPR telah diturunkan dari 3 peratus bermula tahun 2020 sehingga menjadi 1.75 peratus iaitu terendah dalam sejarah untuk memberi daya tahan kepada ekonomi serta poket rakyat susulan impak Covid-19, tetapi kenaikan berterusan akan menyebabkan rakyat tertekan.

Pakar-pakar kewangan sendiri memang menjangkakan kenaikan OPR tahun ini tetapi tidak terlalu drastik seperti mana yang dilakukan BNM.

Contohnya Kenanga Research dilaporkan berkata, pihaknya terkejut BNM turut sama meningkatkan kadar faedah kerana merasakan pemulihan ekonomi secara relatifnya kekal rapuh dan purata inflasi kekal di tahap yang boleh dihadapi.

Begitu juga dengan CEO Centre for Market Education Carlemo Ferlito yang dipetik Malaysian Reserve sebagai berkata, langkah itu mungkin terlalu awal dan akan menyebabkan pengecutan ekonomi serta menjejaskan pewujudan peluang pekerjaan di saat ia amat diperlukan.

Oleh itu, walaupun BNM mempunyai pendekatan dari sudut ekonomi dalam mengekang inflasi dan penguncupan Ringgit, harus diingat dasar OPR memberi kesan langsung kepada orang ramai.

Bagi yang ‘cukup-cukup makan’, mereka perlu memotong perbelanjaan lain bagi menyalurkan wang tersebut kepada bayaran pinjaman bank.

Berapa nilai tunai yang berbaki di poket mereka jika banyak yang perlu diperuntukkan untuk membayar pinjaman bank.

Pada masa sama, orang ramai perlu menyerap kenaikan harga barangan apabila syarikat-syarikat atau peniaga yang terkesan dengan kenaikan faedah pinjaman memindahkan kos mereka kepada pengguna akhir.

Pendek kata, pengguna iaitu orang ramai yang paling terkesan dari segala segi kesan rantaian kenaikan OPR.

Mereka yang tergolong dalam M40 dilihat akan menerima impak paling besar kerana tidak layak untuk menerima bantuan langsung kerajaan tetapi pada masa mempunyai nilai pinjaman yang tinggi dengan pihak bank.

Seperti yang dinyatakan Pensyarah Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, kumpulan tersebut kebanyakannya mempunyai komitmen pinjaman bank terutamanya pembiayaan perumahan sehingga RM700,000, mengikut kadar pendapatan mereka di antara RM4,850 dan RM10,959.

Ditambah dengan komitmen pinjaman kenderaan dan lain-lain pinjaman, golongan berkenaan sudah pasti akan menerima impak berganda ditambah pula dengan kadar upah diterima tidak seiring dengan keadaan semasa.

Tambahan pula cabaran yang dihadapi dunia dan Malaysia ketika ini adalah berbeza disebabkan Covid-19 dan segala norma kebiasaan manusia terpaksa diselarikan dengan tuntutan pasca pandemik.

Tok Chey melihat langkah menaikkan OPR secara berterusan, bukan jalan terbaik untuk memulihkan ekonomi kerana kesan langsung yang terpaksa dihadapi oleh rakyat.

Oleh itu, Tok Chey dan juga rakyat bawahan yang lain amat berharap kerajaan dan pakar-pakar ekonomi duduk berbincang semula bagi memikirkan jalan terbaik bagaimana memulihkan ekonomi negara dan poket rakyat tanpa menggunakan pendekatan sedia ada.

Carilah jalan tengah yang dapat melegakan rakyat yang baru sahaja mahu bangkit daripada kesan pandemik dan impak kewangan yang dihadapi sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here