MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terletak di bawah kementeriannya namun sebagai menteri beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat kelulusan berhubung permohonan UMNO meminda Perlembagaannya bagi menangguh pemilihan parti itu.
Sehubungan itu Hamzah berkata, buat masa ini beliau difahamkan RoS belum mengeluarkan surat berkaitan permohonan UMNO.
‘’Saya menteri mengawal RoS, tapi keputusan itu RoS buat secara bebas,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya hari ini.
Mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa RoS mempunyai masa hingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan itu, Hamzah berkata ia terserah kepada jabatan berkenaan untuk mempercepatkannya.
“Itu permohonan Perdana Menteri, minta supaya kalau boleh bagi (keputusan) sebelum 16 Julai, itu juga kita tak boleh nak salahkan Perdana Menteri sebab beliau memohon kalau boleh percepatkan, kalau boleh buat sebelum 16 Julai apa salahnya.
“Saya menteri KDN hanya apabila (ia membabitkan) perkara rayuan, itu boleh tanya saya, rayuan mesti dibuat kepada menteri dalam negeri, bab permohonan asal (saya tak boleh campur),” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri berkata, JPPM mempunyai masa hingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu.
Leave a Reply