Pemandu BMW sebabkan kemalangan babit bayi 4 bulan hadir beri keterangan

SELEPAS ‘menghilangkan’ diri selama beberapa hari, pemandu BMW 330E yang mengakibatkan kemalangan membabitkan bayi empat bulan pada Isnin tampil memberi keterangan.

Menurut Ketua Polis Muallim Hasni Mohd. Nasir, pemandu berusia 30 tahun itu hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam sebelum diminta hadir ke IPD Muallim bagi membantu siasatan kes.

“Lelaki itu hadir ke IPD Muallim pada 10 malam tadi (Selasa) untuk direkod keterangan. Kes kini disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor Sinar Harian, hari ini.

Katanya, dalam kejadian di KM385.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim pada kira-kira 7.30 malam itu, sepasang suami isteri yang menaiki Proton Inspira cedera, sementara bayi mereka parah.

Bagaimanapun, pemandu BMW terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasni berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila BMW tersebut secara tiba-tiba masuk di hadapan laluan Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu Proton Inspira hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kenderaan BMW sebelum terbabas sehingga merempuh besi pembahagi jalan,” katanya.

Pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu mengalami luka di bahagian tangan kanan sementara isterinya retak pergelangan kaki kiri.

Bayi lelaki mereka berusia empat bulan pula patah tulang paha dan pinggul serta mengalami pendarahan di otak.

Seorang lagi penumpang, iaitu lelaki berusia 20 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu tular dalam media sosial sejak semalam setelah seorang wanita mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaikinya terbabas.

Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia itu memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq, tercampak ke tengah jalan akibat kemalangan tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *