KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Rabu lalu menyaksikan peningkatan kali kedua dari 1.75 peratus kepada 2.25 peratus dan dijangka naik sekali lagi akhir tahun ini.
Menurut laporan Berita Harian, Fitch Solutions menjangkakan BNM akan meningkatkan kadar tersebut sehingga 2.75 peratus pada hujung tahun ini.
Dalam satu nota penyelidikan, firma kewangan tersebut berkata, kadar dasar sebanyak 50 mata asas akan dinaikkan kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini, selepas ia meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada 6 Julai lalu.
Hasil tinjauan Satu Berita dalam media sosial mendapati, rata-rata rakyat mula merasakan beban dalam pembayaran bulanan pinjaman masing-masing seperti rumah dan kereta.
Seorang pengguna media sosial, Sahira Sha berkata, pembayaran pinjaman rumah yang meningkat akan mengakibatkan kesukaran membayar sewa sehingga terpaksa merempat di jalanan.
“Ramai yang bakal merempat di bawah jambatan, untung kepada bank sahaja, kena minta tolong Ustaz Ebit Lew bayarkan sewa,” katanya dalam nada sarkastik.
Mohd. Arizan pula mengeluh akibat keputusannya membuat pinjaman untuk rumah dan kereta.
“Ya Allah, tak tidur malam kalau macam ini, menyesal terlibat dengan pinjaman semua, terikat sehingga ke tua pula,” katanya.
Selain itu, Nurulhuda Ismail merasakan perbezaan pembiayaan bulanan untuk keretanya yang naik mendadak.
“Dari RM754 ke RM860, berapa beza ni? Baru sahaja naik bulan ini, nanti nak naik berapa lagi?” ujarnya.
Dalam pada itu, Adr Mpa berkata, pembelian rumah pula dijangka perlahan dan ramai akan menghentikan hasrat memiliki rumah dalam masa terdekat akibat kenaikan OPR.
“Setiap peningkatan sebanyak 25 mata asas akan meningkatkan pembiayaan bulanan sebanyak RM70-100 bagi sebuah rumah.
“BNM dijangka menaikkan kadar OPR sebanyak lima kali, itu adalah tambahan sebanyak RM350-500 akan dibayar secara purata pada setiap bulan,” katanya.
Leave a Reply