SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbakar di Kilometer 303.4 Lebuhraya Utara Selatan dari Serdang ke Kajang, bangi, hari ini.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.53 tengah hari.
Susulan itu kata Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Zulfikar Jaffar, seramai 11 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan BBP Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati kereta terbakar 100 peratus selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi berkenaan.
“Difahamkan pemandu kereta itu iaitu seorang lelaki berusia 20-an sempat dibawa keluar dari kenderaan berkenaan oleh orang awam.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di paha kiri dan patah tangan kiri,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Bagaimanapun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.
Leave a Reply